Saudi Women Ride Motorcycles 2018 10

Wanita Saudi Kini Boleh Menunggang Motosikal!

  • Larangan memandu untuk wanita di Arab Saudi telah dimansuhkan secara rasmi pada awal minggu ini.
  • Para wanita di seluruh negara berkenaan telah mula memandu kenderaan dan juga menyertai sekolah memandu.
  • Akibat kekurangan jurulatih pemanduan wanita, hanya sebilangan kecil sahaja yang berjaya memulakan latihan memandu di ibu negara Arab Saudi.

Sumber imej: Arab News

Ianya satu detik yang bersejarah buat warga wanita Arab Saudi pada awal minggu ini, di mana larangan memandu yang dikenakan ke atas mereka telah pun dimansuhkan setelah berpuluh tahun dilaksanakan. Media di seluruh negara Arab Saudi meraikan detik ini di mana para wanita di seluruh negara mula dibenarkan untuk memandu kenderaan mereka sendiri di negara tersebut.

Sumber imej: IBTimes UK

Ramai yang telah melaporkan bahawa wanita yang memiliki lesen memandu antarabangsa telah menjadi kumpulan pertama yang memohon permit memandu Arab Saudi dan mula memandu kereta (dan tidak lupa juga, motosikal). Di mana kebanyakan mereka memilih untuk memandu, ada segelintir yang telah mula belajar untuk menunggang di ibu negara Arab Saudi.

Bagi mereka yang tidak mengetahuinya, Raja Salman telah memberi titah pada bulan September lalu, untuk memansuhkan larangan memandu kenderaan di atas jalan raya untuk wanita. Ianya diperkukuhkan lagi apabila Pusat Komunikasi Antarabangsa Arab Saudi memuatnaik berita rasmi di laman Twitter rasmi mereka pada bulan Disember lalu.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, wanita yang memiliki lesen antarabangsa, mereka telah mula memandu dan menunggang memandangkan mereka tidak perlu menghadiri sebarang sekolah memandu tempatan. Bagi yang lain, mereka telah mula mendaftarkan diri dan berdasarkan apa yang kami ketahui, negara tersebut mempunyai bilangan jurulatih pemanduan wanita yang rendah.

Dengan peningkatan yang mendadak bagi mereka yang memiliki kemahiran ini, kami mengandaikan yang gajinya mungkin sekali lebih tinggi berbanding dengan kadar purata di luar Arab Saudi. Barangkali ianya sesuatu yang boleh dimanfaatkan bagi mereka yang mempunyai kemahiran ini?

Tahniah diucapkan pada warga Arab Saudi! Tungganglah dengan selamat dan jangan lupa untuk mengenakan kelengkapan menunggang yang sesuai!

Sumber imej: Reuters

Oleh: Zarul Faiz, Penulis, Motomalaya.net