Terminator 2 Harley Davidson Fat Boy

Harley-Davidson Fat Boy Filem Terminator 2 Dilelong Pada Harga $500,000

  • Motosikal Harley-Davidson Fat Boy dari filem ikonik, Terminator 2 telah dilelong baru-baru ini.
  • Ia telah berjaya meraih harga yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan.
  • Populariti model Fat Boy tersebut melonjak naik sejak kemunculannya dalam filem berkenaan.

Masihkah anda ingat akan filem Terminator 2: Judgment Day?

Filem ini bermula seperti sebuah jenaka: Sebuah T-800 berjalan masuk ke dalam sebuah ‘bar’ dalam keadaan bogel.

Ia meneliti satu persatu pengunjung yang ada, sewaktu mereka tercengang melihatnya. Memandang tepat seorang penunggang motosikal, ia telah mengucapkan antara baris kata paling popular dalam sejarah Hollywood, “I need your clothes, your boots, and your motocycle,” dalam pelat Austria yang pekat (barangkali Skynet ini ciptaan negara tersebut). Dalam pergaduhan yang berlaku selepasnya, geng motosikal tersebut telah dibelasah, berakhir dengan penunggang motosikal berkenaan ‘mendermakan’ pakaian dan motosikal dengan ikhlas hati.

https://youtu.be/TaRuugE1R74

Ia keluar dari ‘bar’ berkenaan dan meneliti motosikal yang diparkir di luar, dan memilih sebuah motosikal Harley-Davidson FLSTF Fat Boy. T-800 itu kemudiannya melakukan ‘burnout berasap dan ‘powerslid’ (juga dikenali sebagai ‘drift’ pada zaman sekarang), diiringi dengan lagu ikonik, “Bad to the Bone” nyanyian George Thoroughgood.

Motosikal tersebut telah ditunggangi Arnold Schwarzenegger sendiri dalam filem berkenaan dan merupakan sebahagian daripada lelongan “Icons & Legends of Hollywood” baru-baru ini. Dengan ramalan jualan di antara $200,000 hingga $300,000, ia mengatasi jumlah tersebut pada harga melebihi $480,000.

Model Fat Boy tersebut telah dilancarkan pada tahun 1990, sejurus sebelum pelancaran filem berkenaan pada tahun 1991. Hasil dari kemunculannya dalam filem tersebut, model Fat Boy telah menjadi model Harley yang paling laris sehingga hari ini. Ada di antara pekerja Harley yang turut mengakui yang populariti model berkenaan sedikit sebanyak adalah atas sebab filem tersebut, yang merupakan antara filem paling laris sepanjang zaman.

Motosikal Fat Boy tersebut juga merupakan sebahagian daripada salah sebuah babak kejar mengejar berkenderaan paling ikonik dan mengujakan dalam sejarah perfileman, di mana watak Arnold, T-800, menyelamatkan watak John Connor yang menunggang sebuah Honda XR, daripada dilenyek oleh sebuah trak tunda ‘big rig’ yang dipandu watak T-1000.

Turut dilelong adalah jaket kulit ‘punk’ yang dikenakan oleh watak Arnold dalam filem tersebut, lengkap dengan lubang kesan tembakan berdarah. Ia telah dijual pada harga $24,000!

Oleh: Zarul Faiz, Penulis, MotoMalaya.net