Jorge Lorenzo

MotoGP Catalan 2018: Kemenangan Kedua Berturut-turut Buat Jorge Lorenzo Bagi Musim 2018!

  • Jorge Lorenzo telah mempamerkan penunggangan yang penuh bergaya bagi memenangi MotoGP Catalan 2018.
  • Marc Marquez telah mendahului perlumbaan buat seketika sebelum diambil alih oleh bakal teman sepasukannya untuk musim 2019.
  • Valentino Rossi menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga buat kali ketiga berturut-turut.

Ducati sekali lagi pasti merasa menyesal melepaskan Jorge Lorenzo selepas dia memenangi Gran Premi Monster Energy de Catalunya dengan penuh bergaya. Penunggang kelahiran Sepanyol itu memenangi perlumbaan berkenaan dengan jarak masa empat saat bagi memperoleh kemenangan keduanya yang berturut-turut bagi musim 2018 ini.

Marc Marquez pula telah menduduki tempat ke-dua dan mengekalkan tempatnya sebagai pendahulu kejohanan, manakala Valentino Rossi pula berjaya mendapat tempat ke-tiga buat kali ketiga berturut-turut.

Perlumbaan ini tidaklah bermula selancar yang diingini Lorenzo, di mana dia terpaksa mengekori Marquez dari selekoh pertama lagi. Andrea Iannone juga turut bermula cemerlang dan berjaya menduduki tempat ke-dua di pusingan pembukaan perlumbaan, memaksa Lorenzo berada di tempat ke-tiga.

Namun, Lorenzo mempunyai rentak dan gaya dan berjaya mengekalkan ketenangan dan keyakinannya bagi memintas Iannone dan Marquez sewaktu selekoh pertama pada pusingan kedua. Sejak itu, dia mula menjarakkan diri dan meninggalkan penunggang lain di belakangnya.

Teman sepasukan Ducatinya, Andrea Dovizioso, berjaya menduduki tempat ketiga sewaktu perlumbaan, mengekori Marquez, namun, nasib itu tidak berpanjangan dan dia terbabas sewaktu pusingan ke-sembilan – DNF ke-tiganya bagi musim ini, satu tamparan yang besar bagi peluang untuk memenangi kejuaraan musim ini.

Rossi berinjak naik ke tempat ke-tiga setelah Dovizioso terbabas, namun tidak mampu mengejar dua penunggang pendahulu yang telah berjaya menjarakkan diri mereka sebanyak 3.2 saat. Jarak di antara dua penunggang teratas kekal di bawah satu saat pada sebahagian besar perlumbaan tetapi Lorenzo tampak cukup kebal, menetapkan masa 1:40.0 saat pusingan demi pusingan. Di penghujung perlumbaan, Marquez tidak mampu menyaingi rentak Lorenzo, dan akhirnya menamatkan perlumbaan dengan jarak masa 4.479 saat di belakang Lorenzo, yang kini mempunyai kutipan mata yang sama seperti teman sepasukannya dalam kedudukan kejohanan musim ini, Dovizioso.

Rossi menamatkan perlumbaannya di tempat ke-tiga dan berjaya mengekalkan kedudukan tempat keduanya di dalam tangga kejohanan dengan penamat di atas podium, manakala penunggang pasukan LCR Honda Castrol, Cal Crutchlow, menunggang dengan hebat sekali untuk menjadi penunggang pasukan satelit terpantas di tempat ke-empat. Penunggang Britain itu telah bersaing dengan Dani Pedrosa sepanjang perlumbaan dan berjaya mengatasi penunggang Sepanyol itu. Dani Pedrosa melengkapkan lima penunggang terpantas.

Maverick Viñales sekali lagi menghadapi kesukaran di awal perlumbaan, tersungkur ke P10 selepas pusingan pertama, setelah memulakan perlumbaan dari tempat ke-empat. Penunggang dari Sepanyol itu kemudiannya berjaya mendapat tempat ke-enam di garisan penamat, setelah berhempas pulas bertarung dengan Johann Zarco sepanjang perlumbaan.

Danilo Petrucci melintasi garisan penamat di tempat ke-lapan, dengan seorang lagi penunggang Ducati, Alvaro Bautista, di tempat ke-sembilan dengan jarak masa sebanyak tujuh saat.

Walaupun bermula dengan hebat, Iannone tercicir dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-sepuluh. Pol Espargaro berjaya menamatkan perlumbaan di P11, kali keempat buatnya berturut-turut, dengan Scott Redding dan Karel Abraham melengkapkan barisan penunggang yang telah berjaya menamatkan perlumbaan, di P12 dan P13.

Bradley Smith berjaya menduduki tempat ke-lapan pada awal perlumbaan, namun, telah kemalangan dengan Takaaki Nakagami pada pusingan 14. Kedua-dua penunggang tidak mengalami kecederaan.

Mika Kallio dari Red Bull KTM Factory Racing, Tom Luthi, Aleix Espargaro, dan Xavier Simeon juga turut terbabas di awal perlumbaan. Mereka semua tidak mengalami kecederaan.

Penunggang Malaysia, Hafizh Syahrin berlumba dengan baik sekali dan tampak seperti mampu menamatkan perlumbaannya dalam kedudukan 10 terpantas, namun telah terbabas dengan baki 4 pusingan.

Alex Rins mengalami hujung minggu yang sukar, dan ianya tidak berubah sewaktu perlumbaan. Penunggang Sepanyol itu telah bersara dari perlumbaan pada pusingan 12. Jack Miller dan Tito Rabat juga terpaksa bersara dari perlumbaan,dengan jentera Ducati tunggangan Tito dijilat api.

Pusingan yang berikutnya akan berlangsung di litar Assen, Belanda, di mana Lorenzo akan cuba meneruskan momentumnya mengejar pendahulu kejuaraan dan Marquez akan cuba menjarakkan Rossi yang sedang mengekorinya di tempat kedua kejohanan. Rossi pada waktu ini menduduki anak tangga kedua dalam kejohanan musim 2018, dan “The Doctor” sering kali mempamerkan kehebatannya di litar TT Circuit Assen ini.

Sumber imej: MotoGP.com

Oleh: Zarul Faiz, Penulis, Motomalaya.net